top of page

PAS sindir Ketua DAPSY Kebangsaan selepas menang kerusi 1 kerusi DUN Sabah

  • S.KUMARA
  • 5 hari lalu
  • 1 min membaca
ree

SHAH ALAM – Pas mula menyindir Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Kebangsaan, Woo Kah Leong ekoran kejayaan parti itu meraih kemenangan sulung dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah pada 29 November lalu.


Ketua Penerangan Pas Pusat Ahmad Fadhli Shaari berkata, Kah Leong sebelum ini menasihatkan Pas supaya mengusahakan kerusi pertama di Sabah.


“Ketua DAPSY ini tempoh hari nasihatkan Pas supaya usahakan kerusi pertama di Sabah, dalam hantaran biadabnya yang menyertakan gambar Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang diubah suai.


“Sekarang, ada lagi ke dia nak nasihat apa-apa?” tanya beliau menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.


Sebelum ini, Pas menyatakan harapan bahawa kemenangan Datuk Dr Aliakbar Gulasan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai akan meletakkan asas kukuh buat parti itu di Sabah pada masa akan datang.


Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menyifatkan kemenangan sulung Pas di DUN Sabah pada kali ini sebagai pencapaian yang bersejarah dalam arena politik Pas dan sangat besar dalam perjuangan parti tersebut.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para pengundi serta jentera Pas dan Perikatan Nasional (PN) yang bertungkus-lumus memastikan kemenangan Aliakbar, yang juga Pesuruhjaya Pas Sabah.


Terdahulu, pada 20 November lalu, Ahmad Fadhli menyifatkan tindakan Kah Leong sebagai biadab susulan satu hantaran di Facebook yang memaparkan gambar Mursyidul Am Pas dalam keadaan terlantar di katil dan dipercayai telah diubah suai.


Menurut beliau, hantaran tersebut mencerminkan ketidakmampuan Kah Leong untuk berhujah secara intelektual apabila memilih menyerang peribadi tokoh veteran parti.


Tindakan Kah Leong turut mencetuskan kemarahan dalam kalangan pemimpin dan penyokong Pas yang menyifatkan perbuatan itu melampau serta tidak menghormati kepelbagaian masyarakat Sabah yang sering dilaungkan oleh DAP.

Komen


bottom of page