top of page

PDRM buru 7 warga Malaysia dikehendaki Singapura kes jenayah siber berjumlah RM130 juta

  • kumara885
  • 1 Nov
  • 1 min membaca
Datuk M. Kumar
Datuk M. Kumar

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia telah memperhebatkan usaha bagi membantu kerajaan Singapura untuk memburu dan menjejaki seramai tujuh warga Malaysia yang disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah siber berjumlah kira-kira RM130 juta berpangkalan di Kemboja.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk M.Kumar telah mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima maklumat daripada Pasukan Polis Singapura (SPF) berhubung pendedahan penglibatan seramai 27 warga Singapura dan tujuh warga Malaysia dalam kegiatan jenayah siber tersebut.


Katanya, PDRM akan membantu negara republik jiran itu untuk mendapatkan kesemua suspek yang dikehendaki dalam kes penipuan jenayah siber tersebut.


"Sehubungan itu, PDRM telah dan sedang melaksanakan tindakan untuk mengesan serta menahan semua individu yang disyaki terlibat.


"Kesemua tujuh suspek warga Malaysia telah disenaraikan ke dalam senarai orang yang dikehendaki bagi tujuan tangkapan dan siasatan lanjut," katanya menerusi kenyataan media tengah malam tadi.


Menurut beliau, PDRM kekal komited memperhebat usaha pengesanan kesemua suspek terbabit dengan menjalin kerjasama erat bersama agensi penguat kuasa dalam dan luar negara.


"PDRM menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa bagi membanteras jenayah rentas sempadan yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam," tegas Kumar lagi.


Komen


bottom of page