top of page

PDRM masih giat kesan keberadaan anak, bekas suami Indira

  • S.KUMARA
  • 26 Nov
  • 1 min membaca
ree

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Rabu memaklumkan bahawa pihaknya masih giat melaksanakan usaha mengesan dan menjejaki lokasi bekas suami Indira Gandhi iaitu Muhammad Riduan Abdullah.


Malah, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail juga berkata bahawa polis juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mengesahkan status sekatan perjalanan khas yang masih berkuat kuasa terhadap Muhammad Riduan atau sebelum ini dikenali sebagai K.Pathmanathan.


"Usaha mengesan Muhammad Riduan masih giat dilaksanakan oleh polis, ini termasuklah siasatan lanjut terhadap dakwaan kewujudan individu yang disyaki menggunakan identiti tersebut bagi menerima bantuan kerajaan Budi Madani 95 (BUDI95) serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA).


"Masa sama, semakan juga dilaksanakan dengan kerjasama JIM bagi mengesahkan status sekatan perjalanan khas yang masih berkuat kuasa terhadap individu itu," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di ibu negara hari ini.


Dalam perkembangan sama, tambah beliau, PDRM komitmen untuk mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh serta akan terus pergiat usaba mengeaan keberadaan anak dan bekas suami kepada M Indira Gandhi.


Katanya, ia selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan penghormatan terhadap institusi kehakiman negara.


Jelasnya, sejak tahun 2021, sebanyak 18 sesi pengurusan kes telah diadakan di Mahkamah Tinggi Ipoh berkaitan perkara ini dan sesi pengurusan seterusnya ditetapkan pada 27 Februari tahun depan.


"PDRM ingin menegaskan bahawa setiap tindakan yang diambil dalam mengendalikan kes ini dilaksanakan secara profesional, telus dan berintegriti demi memastikan keadilan ditegakkan mengikut lunas undang-undang.


"Dalam perkara ini, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga menjejaskan proses siasatan.


"PDRM juga menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan Muhammad Riduan untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkan di balai polis terdekat," tegasnya lagi. - malaysiatoday.com.my


Komen


bottom of page