top of page

PDRM Sedia Manfaatkan AI Sebagai Instrumen Utama Cegah Jenayah Bandar

  • kumara885
  • 18 Okt
  • 2 min membaca
Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) sebagai instrumen utama pencegahan jenayah di bandar.


Menteri Dalam Negeri Yang Berhormat Senator Dato Seri Haji Saifuddin Nasution Bin Ismail berkata, AI berupaya meningkatkan keberkesanan operasi melalui analisis

data, ramalan corak jenayah (predictive policing) dan penugasan strategik anggota di kawasan panas.


"Antara faedah AI dalam pencegahan jenayah adalah CCTV berasaskan AI boleh mengesan tingkah laku mencurigakan, pengecaman wajah serta kenderaan, sekali gus

membolehkan amaran dihantar segera ke pusat kawalan.


"AI juga membantu analisis media sosial untuk menjejak kandungan hasutan, penipuan dalam talian dan aktiviti kumpulan jenayah dan dalam siasatan forensik digital, AI mempercepatkan penapisan, klasifikasi serta analisis bukti elektronik seperti video, dokumen dan komunikasi," katanya secara bertulis dalam Portal Rasmi Parlimen pada Khamis.


Beliau berkata demikian kepada soalan Ahli Parlimen Parit YB Haji Muhammad Ismi Mat aib yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan kesediaan Polis Diraja Malaysia menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI policing) dalam pencegahan jenayah bandar serta garis panduan etika untuk mengelakkan salah guna kuasa.


Tambah beliau, bagi memastikan pasukan PDRM dapat memanfaatkan teknologi AI

sepenuhnya, PDRM sedang menambahbaik sistem Central Criminal Intelligence Unit (CCIU) dengan menggunakan AI bagi menghasilkan laporan profil subjek lebih lengkap serta analisis automatik yang pantas.


Menurutnya lagi, di samping itu, Pasukan Petugas Khas Siber ditubuhkan pada Mac 2024 dan telah menjalankan lebih 80 analisis risikan siber termasuk analisis sentimen,

pemprofilan serta domain.


Justeru katanya, KDN juga melaksanakan Program “AI Awareness For PDRM” bagi memperkasa agenda pendigitalan.


"Transformasi berasaskan AI akan memperkukuh integriti pasukan polis dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.


"Seiring perkembangan teknologi, garis panduan etika akan dibangunkan bagi memastikan penggunaan AI berlandaskan undang-undang, telus, boleh diaudit serta melindungi data peribadi rakyat.


"Ini penting untuk mengelakkan salah guna kuasa dan menjamin keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan negara," ujar beliau.


Komen


bottom of page