Pegawai PTD ditahan dalam Spa seks Songsang diarah letak jawatan serta-merta
- S.KUMARA
- 2 Dis
- 1 min membaca

PUTRAJAYA – Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) berkhidmat di Pejabat Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) yang ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam aktiviti songsang di sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit, ibu negara minggu lepas telah diarahkan meletakkan jawatan serta-merta.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pada masa sama, Unit Integriti KPT juga telah memulakan siasatan dalaman terhadap pegawai terbabit ke arah tindakan tatatertib mengikut ketetapan peraturan perkhidmatan.
“Saya mengambil maklum laporan berhubung penahanan salah seorang PTD yang berkhidmat di pejabat saya oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.
“Kementerian telah mengambil beberapa tindakan tegas bagi memastikan integriti perkhidmatan awam terus terpelihara.
“Pegawai berkenaan telah diarahkan meletakkan jawatan serta-merta daripada pejabat Timbalan Menteri,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Katanya, tiada sesiapa dikecualikan daripada proses undang-undang dan tatakelola yang mana sebarang tindakan lanjut akan diputuskan berdasarkan hasil siasatan Unit Integriti serta kerjasama pihak berkuasa.
“Sebagai Timbalan Menteri, saya menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan integriti penyiasatan,” katanya.
Dalam operasi pada minggu lepas, kegiatan sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disyaki menjadi tempat lelaki songsang berkumpul terbongkar selepas serbuan dilakukan KL Strike Force.
Hasil pemeriksaan berjaya membawa kepada tangkapan seramai 201 individu lelaki ditahan termasuk tujuh pekerja premis, dengan 24 daripadanya warga asing manakala lebih 80 orang merupakan beragama Islam warga tempatan.- malaysiatoday.com.my





Komen