top of page

Peka perubahan tingkah laku, tekanan emosi anggota - KPN

  • EDITOR
  • 19 Nov
  • 1 min membaca
Mohd Khalid Ismail
Mohd Khalid Ismail

KUALA LUMPUR - Kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penyelia di semua peringkat diseru supaya lebih peka terhadap tanda-tanda kemurungan, tekanan emosi serta perubahan sikap pegawai dan anggota bawahan.


Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, isu kesejahteraan mental sering berpunca daripada bebanan kehidupan dan tekanan melampau yang jika tidak ditangani awal boleh menjejaskan prestasi serta disiplin warga pasukan.


"Diharapkan agar semua barisan kepimpinan dan penyelia untuk peka terhadap perubahan tingkah laku, tekanan emosi atau tanda-tanda kemurungan dalam kalangan warga Sang Saka Biru.


“Tindakan intervensi awal perlu diambil melalui pendekatan empati, program kaunseling dan bimbingan bagi memastikan individu yang memerlukan sokongan mendapat bantuan sewajarnya,” katanya dalam ucapan Perhimpunan Bulanan di Bukit Aman, di sini pada Rabu.


Dalam masa sama, Mohd Khalid menambah bahawa PDRM giat membangunkan Strategi Pembanterasan Rasuah Polis Diraja Malaysia (OACS) berpandukan kepada Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) bagi memperkukuh integriti, tadbir urus dan usaha membanteras rasuah.


Menurutnya, inisiatif berkenaan menjadi indikator penting dalam mengekang salah laku serta pelanggaran etika dalam kalangan warga pasukan.


“Saya menyeru agar semua jabatan dan formasi berganding bahu memainkan peranan proaktif bagi memastikan Strategi Pembanterasan Rasuah PDRM dapat dilaksanakan dengan berkesan dalam menangani kegiatan korupsi,” katanya.


Mohd Khalid turut mengingatkan bahawa tanggungjawab memelihara integriti pasukan bukan hanya terletak pada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), sebaliknya memerlukan kerjasama semua pegawai dari peringkat bawahan hingga atasan.

“Barisan kepimpinan perlu memperkukuh penyeliaan melalui pemantauan rapi serta pematuhan.-Malaysiatoday

Komen


bottom of page