top of page

Pekebun lelaki ditikam depan rumah angkara dendam

  • kumara885
  • 4 Nov
  • 1 min membaca
ree


KUANTAN – Gara-gara tidak puas hati dilaporkan kepada polis mengenai pengambilan bahan terlarang, seorang lelaki bertindak menikam seorang pekebun lelaki kenalan sendiri di bahagian perut sebagai membalas dendam dalam kejadian yang berlaku di Kampung Sri Damai, Jalan Gambang di sini, pada Jumaat.


Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pekebun cedera selepas ditikam menggunakan pisau sepanjang kira-kira lima inci di hadapan rumahnya.


Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 25 tahun datang ke rumah mangsa dan memanggilnya keluar sebelum berlaku pertengkaran.


“Suspek dikatakan meminta mangsa mengikutnya dengan alasan ada rakan yang mahu berjumpa, namun mangsa enggan.


“Suspek kemudian secara tiba-tiba mengeluarkan pisau dari belakang seluar dan menikam perut mangsa sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.


Beliau berkata, akibat tikaman tersebut mangsa mengalami luka di bahagian perut dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dalam keadaan stabil.


Tambah Ashari lagi, suspek yang tidak bekerja berjaya ditahan tidak lama selepas kejadian oleh sepasukan anggota Balai Polis Jaya Gading.


“Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada dendam apabila mangsa didakwa pernah membuat laporan kepada polis berkaitan kegiatan penyalahgunaan bahan terlarang oleh suspek,” katanya.


Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata tajam.


Komen


bottom of page