top of page

Pekerja Farmasi cedera digigit ular sawa dalam tandas

  • S.KUMARA
  • 24 Nov
  • 1 min membaca
ree

SHAH ALAM – Seorang pekerja wanita yang bekerja di sebuah farmasi melalui detik mencemaskan apabila kakinya digigit seekor ular sawa ketika menggunakan tandas di premis perubatan itu yang terletak di Setia Alam di sini dalam insiden pada Ahad.


Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, bilik gerakan operasi negeri telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 3.46 petang.


“Bertindak atas maklumat itu, seramai enam anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong terus digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 16 kilometer dari balai untuk tindakan lanjut.


"Sejurus tiba di lokasi pada 4.04 petang, pasukan mendapati mangsa seorang wanita berusia 23 tahun, telah digigit ular berkenaan ketika berada di dalam tandas farmasi tersebut.


"Anggota bomba berjaya melepaskan gigitan ular sawa itu di kaki mangsa," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.


Tambah beliau, wanita digigit ular sawa itu telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan  untuk rawatan selanjutnya.


" Manakala, ular sawa sepanjang dua meter itu pula telah dilepaskan di tempat yang selamat," katanya lagi.- malaysiatoday

Komen


bottom of page