Pelajar lelaki tikam mati pelajar perempuan direman seminggu
- kumara885
- 15 Okt
- 1 min membaca

PETALING JAYA, 15 Oktober - Seorang pelajar lelaki yang ditahan polis selepas disyaki membunuh pelajar perempuan dari Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama, di sini telah direman untuk membantu siasatan polis.
Suspek berusia 14 tahun yang menuntut di Tingkatan 1 sekolah sama telah ditahan pada hari yang sama selepas kejadian menurut Ketua Polis Negara Datuk Seri Ahmad Khalid Ismail.
Pagi tadi, suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini untuk proses permohonan reman oleh polis.
Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha mengeluarkan perintah reman selama seminggu terhadap suspek selepas membenarkan permohonan daripada pihak polis.
Suspek yang juga pelajar Tingkatan Satu (Kelas Peralihan) direman sehingga Selasa minggu depan (21 Oktober 2025).
Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
Dalam prosiding reman hari ini suspek yang memakai baju oren diwakili peguamnya, Anuar Ezzad.
Dalam satu lagi perkembangan terkini dalam kes terbabit, Polis Selangor hari ini memaklumkan bahawa suspek dipercayai telah membeli dua senjata yang digunakan dalam insiden tikam itu dari dalam talian.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pisau serta kerambit berkenaan dibeli secara dalam talian.
“Siasatan mendapati hanya pisau digunakan untuk menikam mangsa ketika kejadian, manakala kerambit tidak digunakan.
“Selain itu, berdasarkan siasatan, keluarga suspek tidak mengetahui mengenai senjata yang dimiliki suspek itu,” katanya.
Malah katanya polis juga meneruskan siasatan untuk menentukan tempoh suspek memiliki senjata tersebut sebelum melakukan jenayah tersebut.





Komen