Pelajar PhD maut kereta dipandu terbabas dalam tasik kampus
- S.KUMARA
- 7 hari lalu
- 1 min membaca

JELI – Seorang penuntut pengajian Doktor Falsafah (PhD) dilaporkan maut manakala rakannya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum masuk ke dalam tasik di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli dalam insiden yang berlaku pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 6.35 petang yang memaklumkan mengenai kemalangan tersebut.
Katanya, bertindak atas maklumat itu sepasukan anggota telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.
"Siasatan awal mendapati, semasa kejadian sekitar jam 6.20 petang itu, kereta jenis Perodua Axia dipandu mangsa, Muhammad Amidee Abdullah, 25, sedang melalui selekoh kiri dalam keadaan menurun bukit di kawasan kampus tersebut.
“Secara tiba-tiba kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam tasik di bahagian kanan jalan.
"Penumpang berjaya keluar menyelamatkan diri, namun pemandu disyaki tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya lagi, penumpang yang tercedera dalam insiden terbabit sedang menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Jeli.
"Mayat mangsa meninggal dunia telah dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian sebenar," tegasnya lagi.





Komen