top of page

“Pelaksanaan Semula UPSR dan PT3: KPM Mohon Diberi Masa Tambahan untuk Kajian”

  • kirthana63
  • 12 Jan
  • 2 min membaca
" Fadhlina Sidek: Sila beri sedikit masa kepada KPM untuk kajian pelaksanaan UPSR dan PT3.”
" Fadhlina Sidek: Sila beri sedikit masa kepada KPM untuk kajian pelaksanaan UPSR dan PT3.”

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan akan menjalankan kajian tahun ini bagi menilai keperluan pelaksanaan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).


Hasil kajian itu dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.


Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, menekankan agar semua pihak memberi sedikit masa kepada kementerian untuk melengkapkan kajian ini, yang turut mengambil kira pandangan ibu bapa dan pemegang taruh lain.


“Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) telah diberi mandat untuk menilai perkara ini, dan KPM akan menjalankan kajian menyeluruh. Kami mohon sedikit masa untuk menyiapkannya,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pembukaan Tahun Akademik 2026 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Regent Elmina. Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.


Fadhlina turut menjelaskan bahawa kajian ini penting bagi memastikan sebarang keputusan berhubung UPSR dan PT3 dibuat secara teliti dan mengambil kira kepentingan murid, guru, serta ibu bapa. KPM sebelum ini telah mengaktifkan semula MPPK untuk mengkaji keperluan program pentaksiran ini, susulan pemansuhan UPSR pada 2021 dan PT3 pada 2022.


UPSR telah dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 pula dihentikan pada 2022, sebelum kedua-duanya digantikan dengan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah.


Dalam perkembangan lain, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek menegaskan bahawa KPM komited dalam menangani isu buli di sekolah.


Beliau berkata semua pihak akan menandatangani Polisi Perlindungan Murid, sebagai satu janji untuk menjaga, memelihara dan melindungi murid-murid di sekolah.


“Selain daripada Polisi Perlindungan Murid, kementerian juga akan memperkenalkan Manual Buku Sekolah Sejahtera, Sekolah Selamat, yang kini berada di peringkat akhir penyediaan.


Manual ini akan dikongsi bersama ibu bapa dan masyarakat bagi memastikan tanggungjawab bersama dalam melindungi anak-anak di sekolah,” katanya.Beliau turut memaklumkan bahawa tiga daripada empat sekolah di kawasan Telok Panglima Garang, Kuala Langat, yang terjejas akibat ribut pada Oktober tahun lalu, telah memulakan sesi persekolahan hari ini.


Sekolah yang satu lagi dijangka beroperasi sepenuhnya pada bulan depan.


Sebelum ini, media melaporkan bahawa kerja-kerja baik pulih bagi empat sekolah di Sijangkang yang rosak akibat ribut pada 15 Oktober 2025 dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan, menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.


Amirudin berkata sejumlah RM10.1 juta telah diperuntukkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membaik pulih Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan, SK Jalan Tanjung, dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya.


Kejadian ribut yang berlaku sekitar jam 4.15 petang itu turut merosakkan sebuah dewan serta kira-kira 40 rumah, dan ia digambarkan sebagai antara fenomena ribut terburuk yang melanda Selangor dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.


Komen


bottom of page