top of page

Pemandu maut dalam nahas tiga lori dekat Lebuhraya Juru

  • Editorial
  • Nov 29
  • 1 min membaca
Anggota bomba mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas dalam kejadian berhampiran Juru. kredit:JBPM
Anggota bomba mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas dalam kejadian berhampiran Juru. kredit:JBPM


SEBERANG PERAI - Seorang pemandu lori dilaporkan maut selepas lori jenis bound yang dipandunya terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan dua buah kontena di Kilometer 146, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), menghala ke utara dekat Juru, pagi Sabtu.


Mangsa yang dikenal pasti berusia 35 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi nahas akibat tersepit di tempat duduk pemandu lori yang dipandunya.


Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kemalangan itu jam 5.52 pagi tadi.


Katanya, bertindak atas maklumat itu sepasukan anggota penyelamat telah bergegas ke lokasi kejadian tersebut.


"Operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai diketuai Komander Operasi Penguasa Bomba Kanan I, Shahrul Munawer Taharem@Tahrin.


"Pemeriksaan mendapati berlaku kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan terdiri sebuah lori bonded yang berada di belakang dua lori kontena jenis Scania serta Isuzu.


"Terdapat tiga mangsa yang terlibat yang mana pemandu lori bonded telah tersepit di ruang pemandu, manakala dua pemandu kontena berusia 41 dan 57 tahun selamat selepas berjaya keluar sendiri," katanya di sini.


Tambah beliau, kedua-dua pemandu kontena didapati tidak mengalami sebarang kecederaan dalam nahas tersebut.


Malah katanya, mangsa pemandu lori bound yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan peralatan khas pada pukul 6.29 pagi tadi.


"Bagaimanapun, mangsa didapati sudah meninggal dunia di lokasi nahas.


"Mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," tegasnya lagi.- malaysiatoday.com.my




Komen


bottom of page