top of page

Pemandu wanita selamat dalam insiden kereta dihempap tiang besi ECRL

  • S.KUMARA
  • 19 Nov
  • 1 min membaca
Wanita terselamat selepas kereta dipandunya dihempap tiang besi ECRL dalam insiden di Gombak semalam.
Wanita terselamat selepas kereta dipandunya dihempap tiang besi ECRL dalam insiden di Gombak semalam.

GOMBAK – Polis hari ini telah mengesahkan bahawa seorang pemandu wanita yang terlibat dalam insiden sebuah kereta dihempap tiang besi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Batu Caves pada Selasa terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.


Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu sekitar jam 2.40 petang selepas sebuah tiang besi pembinaan dikatakan tumbang secara tiba-tiba.


"Siasatan awal mendapati wanita berusia lingkungan 44 tahun itu sedang memandu kenderaan jenis Suzuki Swift dari arah Karak menuju ke Gombak sebelum struktur besi berkenaan menghempap keretanya.


"Mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, namun keretanya rosak akibat dihempap tiang besi terbabit," katanya dalam kenyataan pada Selasa.


Tambah beliau, punca kejadian masih dalam siasatan polis.


Justeru katanya, insiden berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


"Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Noor Farah Hanim Abu Bakar di talian 019-3311552 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-6126 2222 bagi membantu siasatan," tegas beliau lagi.


Terdahulu, media melaporkan kejadian seorang wanita nyaris maut selepas tiang besi ECRL menghempap kenderaan yang dipandu wanita itu.


Bagaimanapun, mangsa yang terselamat tanpa sebarang kecederaan difahamkan berjaya dikeluarkan orang awam beberapa minit sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian tersebut. - malaysiatoday


Komen


bottom of page