top of page

Pempengaruh Taiwan dibunuh: Namewee dipercayai ada hubungan istimewa dengan mangsa - Polis

  • S.KUMARA
  • 2 hari lalu
  • 2 min membaca
ree


KUALA LUMPUR - Penyanyi rap tempatan Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee dipercayai mempunyai hubungan istimewa dengan pempengaruh wanita warga Taiwan yang ditemui maut di sebuah hotel di ibu negara pada Oktober lalu.


Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan mendapati Namewee disyaki telah bersama mangsa sejak dari luar negara sehingga kedua-dua mereka berada di negara ini.


“Setakat ini, siasatan mendapati lelaki itu memang mempunyai hubungan istimewa dengan mangsa.


"Kita juga telah merakam keterangan semua saksi yang terlibat dalam kes ini," katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Deepavali di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Selasa.


Mengulas mengenai status siasatan kes terbabit, Fadil menambah bahawa, perkembangan siasatan setakat ini adalah positif dan ketika ini pihak polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat serta laporan toksikologi daripada hospital.


"Lelaki itu juga memberi kerjasama penuh dalam membantu siasatan polis," jelasnya lagi.


Dalam pada itu, Fadil juga memaklumkan bahawa setakat ini mayat wanita Taiwan itu masih belum dituntut oleh ahli keluarganya.


"Ada individu yang cuba menuntut (mayat) tetapi tidak dibenarkan kerana tiada 'authorization'. Oleh itu, Kita meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang keluarga mangsa untuk tampil membantu siasatan.


"Siasatan masih diteruskan dan kita akan usahakan lagi berdasarkan bukti yang ada. Kita akan kemukakan cadangan (pertuduhan) kepada (pejabat) Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam masa terdekat (sebaik kertas siasatan dilengkapkan)," tegasnya.


Pada Isnin lalu, Namewee yang direman enam hari sebelum ini telah disambung reman tiga hari lagi bermula Selasa hingga Khamis 13 November ini untuk membantu siasatan berkaitan kes tersebut.


Fadil dilaporkan berkata, Namewee disambung reman tiga hari lagi setelah tempoh reman reman Namewee bermula 5 November lalu tamat pada 10 November lepas.


Sebelum ini, Fadil dilaporkan berkata, pihaknya mengklasifikasikan kes berkenaaan sebagai mati mengejut (SDR), namun kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Katanya, tangkapan Namewee menyusul selepas difahamkan dia berada di lokasi itu ketika kejadian berlaku.


Tegasnya, siasatan dalam kes ini masih berjalan dan polis melihat dari semua sudut termasuk individu terakhir yang bersama mangsa akan disiasat.-malaysiatoday


Komen


bottom of page