top of page

Pemuda cedera diugut, dilibas guna paip pvc oleh pakcik kekasih

  • S.KUMARA
  • 3 Dis
  • 1 min membaca
ree

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki tempatan berjaya diberkas polis selepas disyaki terlibat dalam jenayah memukul dan mengugut seorang pemuda dalam kejadian yang berlaku di Kampung Cheras Baru, di sini Sabtu lepas.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada 29 November 2025 kira-kira pukul 1.40 pagi ketika mangsa sedang menghantar teman wanitanya pulang ke rumah dengan kenderaan miliknya.


Jelasnya, selepas menurunkan kekasihnya mangsa dipercayai bertengkar dengan dua abang teman wanitanya sebelum seorang daripada mereka melibas kakinya menggunakan paip PVC dan menumbuk muka mangsa sehingga berdarah.


"Dalam insiden sama, pak cik teman wanita mangsa turut didakwa mengugut akan membunuh mangsa sekiranya terus berhubung dengan teman wanita.


“Bertindak atas maklumat, ketiga-tiga suspek berjaya ditahan kira-kira pukul 4.30 petang hari sama selepas insiden oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya," katanya ketika dihubungi pada Rabu.


Tambah beliau, polis turut merampas sebatang paip PVC yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tersebut bagi membantu siasatan lanjut dalam kes ini.


Malah katanya, semakan lanjut juga mendapati dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala seorang lagi lelaki mempunyai satu rekod lampau kesalahan jenayah.


"Ketiga-tiga suspek telah dibawa ke Mahkamah Ampang sebelum dibenarkan direman selama empat hari bermula 30 November lalu untuk membantu siasatan lanjut.


"Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan," tegasnya.



 
 
 

Komen


bottom of page