Pengasas eHATI antara dua individu dikenakan waran tangkap
- S.KUMARA
- 11 Nov 2025
- 1 min membaca

SHAH ALAM – Dua termasuk pengasas eHATI kini dikehendaki polis selepas waran tangkap dikeluarkan terhadap mereka.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar sambil mengesahkan perkara itu berkata, tindakan itu diambil kerana kedua-dua individu itu gagal menghadirkan diri sewaktu pertuduhan hendak dilaksanakan di mahkamah.
“Saya sahkan, memang ada dua waran tangkap dikeluarkan ke atas dua individu termasuk pengasas eHATI.
“Ini kerana kegagalan untuk hadir pada mahkamah sewaktu pertuduhan hendak dijalankan,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, Selasa.
Beliau bagaimanapun mengambil pendirian untuk tidak mendedahkan lokasi kedua-dua yang dikehendaki itu melarikan diri selepas ditanya pemberita dalam sidang media tersebut.
“Itu saya tidak kongsikan sebab kita sedang berusaha mencarinya,” katanya secara ringkas.
Sebelum ini, difahamkan bahawa pengasas dan seorang individu yang dikenakan waran tangkap itu sepatutnya didakwa pada 14 Oktober lalu bersama pasangan suami yang juga doktor kesihatan dan kecantikan.
Malah, polis mendedahkan seramai 95 individu telah dipanggil memberi keterangan berhubung penganjuran motivasi rumah tangga di sebuah pusat konvensyen di Seksyen 15 di sini, pada September tahun lalu.
Siasatan polis turut mendapati berlaku adegan bogel dalam acara Queen’s Night dalam penganjuran itu melibatkan empat individu yang merupakan fasilator bagi program tersebut.- malaysiatoday





Komen