- kumara885
- 14 Okt
- 1 min membaca

SEREMBAN, 14 Oktober- Seorang pengawal keselamatan wanita dan teman lelakinya diheret ke Mahkamah Sesyen pada hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang murid perempuan berusia sembilan tahun di sebuah sekolah di Rembau minggu lalu.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh Muahmad Mohd Mohtar, 25, dan Nor Aleeya Suhadah Mohamad, 22, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim N Kanageswari sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan amang seksual terhadap mangsa yang merupakan murid Tahun Tiga di dalam tandas perempuan sekolah tersebut.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi pada 7 Oktober lalu.
Mereka menghadapi pertuduhan itu di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Nor Aleeya diwakili peguam, Norfazrin Jamal, manakala Muahmad tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 17 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.





Komen