top of page

Penunggang motosikal maut tercampak dalam sungai

  • kumara885
  • 6 Nov
  • 1 min membaca
ree


BATU KURAU - Seorang lelaki dipercayai maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum tercampak ke dalam sungai berhampiran kebunnya di Lata Telaga 7, Kampung Repoh di sini pada Rabu.


Mangsa yang berusia lingkungan 50 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebatang anak sungai kira-kira satu kilometer dari jalan besar oleh penduduk sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak polis.


Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.05 petang bagi membantu pihak polis mengambil mangsa.


"Sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Kurau dikerahkan ke lokasi kejadian dengan sebuah jentera FRT dan kenderaan utiliti.


“Setibanya di tempat kejadian pada jam 3.16 petang, anggota bomba mendapati mangsa telah ditemui di dalam sungai yang terletak kira-kira satu kilometer dari jalan besar," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.


Shazlean berkata, anggota terpaksa melalui jalan sempit dan berbukit menggunakan kenderaan utiliti untuk ke lokasi.


Katanya, ketua operasi mengarahkan anggota membuat pemantauan terlebih dahulu sementara menunggu penyiasatan pihak polis selesai.


"Setelah selesai siasatan polis, anggota telah membantu mengambil mayat mangsa dari dalam sungai dan mengangkatnya ke atas.


"Mayat mangsa kemudiannya diserah kepada Polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.


Beliau berkata, operasi dikawal sepenuhnya pada jam 3.20 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 6.45 petang. - malaysiatoday.com.my



 
 
 

Komen


bottom of page