Penuntut IPT, pelajar sekolah menengah melarikan diri panik lihat polis
- S.KUMARA
- 2 Dis
- 1 min membaca

JELI – Gara-gara terkejut dan panik dengan kehadiran polis, seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelajar sekolah menengah bertindak melarikan diri dengan memecut kenderaan mereka ketika hendak memberhentikan kereta jenis Perodua Myvi di tepi jalan di Kampung Sungai Rual di sini semalam.
Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, petugas Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli yang sedang menjalankan rondaan sebelum terserempak dengan kenderaan penuntut berkenaan yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun, ketika anggotanya cuba menghampiri kereta terbabit, pemandu bertindak memecut laju dan enggan memberikan kerjasama memberhentikan kenderaannya.
“Susulan itu, anggota telah mengejar kereta tersebut dan pemandu turut bertindak menghalang serta menghimpit kenderaan polis selain memandu secara melulu.
“Kenderaan terbabit akhirnya berjaya ditahan di Kampung Rabbana. Namun pemandu cuba melarikan diri sehingga berlaku pergaduhan kecil sebelum berjaya diberkas polis,” katanya dalam satu kenyataan pagi tadi.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut polis dalam kenderaan itu turut menemui seorang penumpang perempuan.
Katanya lagi siasatan awal mendapati pemandu tersebut merupakan seorang penuntut di sebuah IPT manakala penumpang pula masih bersekolah.
“Kedua-duanya dipercayai terkejut dengan kehadiran polis dan pemeriksaan yang mahu dijalankan.
"Semakan lanjut juga mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
"Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 186/279 Kanun Keseksaan, manakala permohonan reman terhadap pemandu lelaki itu akan dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.





Komen