Penuntut universiti, warga emas antara 13 lelaki ditahan terlibat aktiviti songsang
- S.KUMARA
- 30 Nov
- 2 min membaca

PERAI - Seramai 13 lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti hubungan songsang sejenis berjaya ditahan oleh pihak berkuasa dalam satu serbuan tergempar yang dijalankan di sebuah premis perniagaan yang beroperasi di Bandar Perai Jaya, Perai pada Sabtu.
Daripada jumlah itu, turut ditangkap adalah warga emas dan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Difahamkan, ketika serbuan, beberapa lelaki berkenaan sedang melakukan aktiviti sauna dan hanya berpakaian dalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, serbuan itu dilakukan sekitar jam 7 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah bersama pasukan operasi pelesenan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Menurutnya, pasukan serbuan juga menahan sembilan lelaki tempatan dan dua warga asing berusia 19 hingga 66 tahun yang merupakan pelanggan premis tersebut.
"Selain itu, dua lelaki tempatan masing-masing berusia 57 dan 59 tahun yang dipercayai pengusaha serta pekerja premis terbabit turut ditahan untuk siasatan lanjut.
“Pemeriksaan turut menemui kondom, minyak pelincir dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan tidak bermoral tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, polis turut merampas telefon bimbit milik tangkapan yang mengandungi klip video lucah.
Justeru katanya, siasatan lanjut mendapati premis perniagaan itu beroperasi di tingkat dua dan tiga sebuah bangunan kedai tiga tingkat yang dilengkapi ruang rehat, sauna dan ruangan partisyen.\
Premis berkenaan dijadikan tempat untuk kegiatan hubungan songsang itu dan ia dipercayai aktif sejak dua bulan lalu.
"Hasil ujian air kencing terhadap semua suspek didapati negatif manakala semakan mendapati seorang daripada mereka mempunyai satu rekod jenayah lampau.
"Kesemua yang ditahan itu kini direman sehingga 5 Disember depan bagi membantu siasatan lanjut polis.
“Polis sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 373/377B, Seksyen 377B dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," tegas beliau.





Komen