Perairan P. Pinang pusat transit segala jenayah rentas sempadan
- Editorial
- 28 Nov
- 2 min membaca

KUALA LUMPUR – Perairan negeri Pulau Pinang d Selat Melaka dikenal pasti menjadi pusat transit untuk semua jenis jenayah rentas sempadan termasuk jenayah penyeludupan migran di negara ini.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Laksamana Muda Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, kedudukan negeri itu yang berada hampir dengan Indonesia menjadikannya lokasi tumpuan sindiket sebagai laluan masuk dan keluar secara haram sebelum aktiviti jenayah tersebut dibawa ke negara lain.
Katanya, hasil operasi dan risikan pihaknya sebelum ini menunjukkan terdapat beberapa kes penyeludupan migran yang menjadikan perairan Pulau Pinang sebagai laluan pilihan paling utama oleh sindiket dari kawasan utara Selat Melaka.
“Malah, kedudukan Pulau Pinang sebagai kawasan transit turut menjadikan negeri itu berisiko terhadap aktiviti penyeludupan dadah, migran dan pelbagai jenayah laut lain sebelum dihantar ke negara jiran termasuk Australia,” katanya pada Jumaat.
Beliau bercakap dalam sidang media Majlis Penutup Operasi Redback Siri 21 / 2025 di Georgetown, Pulau Pinang di sini.
Dalam perkembangan sama Mohd. Zawawi turut menambah bahawa beberapa laluan masuk telah dikenal pasti termasuk kawasan perairan Kuala Muda, Nibong Tebal dan Balik Pulau sebagai lokasi sindiket berurusan.
"Bagaimanapun, kebanyakan sindiket memilih untuk mendarat di tanah besar (Seberang Perai) bagi mengelakkan kawalan ketat penguatkuasa di bahagian pulau tersebut.
“Kalau ikutkan, sindiket lebih suka terus ke tanah besar. Kalau ‘landing point’ dekat pulau, mereka akan berdepan pelbagai halangan termasuk pemeriksaan agensi penguat kuasa dan laluan jambatan.
"Sebab itulah jika lihat sekarang, kebanyakan kes membabitkan tangkapan dadah banyak dibuat di bahagian tanah besar” ujarnya lagi.
Tegas beliau, Maritim Malaysia sedang menilai keperluan menambah aset yang berkeupayaan tinggi untuk memantapkan lagi rondaan di sempadan perairan negeri tersebut.
“Kita kini dalam proses menilai aset lebih berkemampuan untuk diletakkan di Pulau Pinang supaya rondaan di sempadan perairan dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.
"Radar di Pulau Perak yang turut memantau pergerakan bot dari Aceh dan kawasan lain membantu operasi, namun tidak meliputi Pulau Pinang sepenuhnya,” tegas beliau.





Komen