Perang undang-undang antara FAM dan FIFA demi pertahan reputasi bolasepak negara
- kumara885
- 5 hari lalu
- 2 min membaca
Updated: 4 hari lalu

Perang undang-undang antara FAM dan FIFA demi pertahan reputasi bolasepak negara
KUALA LUMPUR - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyifatkan perjuangan undang-undang terhadap keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa sebagai 'Perang Utama" demi mempertahankan reputasi bola sepak negara.
Pemangku Presiden FAM Datuk Yusoff Mahadi berkata, FAM akan mempersiapkan segala dokumen yang diperlukan, bukti dan hujah-hujah berfakta sebelum merujuk dan mencabar keputusan FIFA di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) kelak.
"FAM akan bersiap sedia dengan segala dokumen dan butiran berkaitan kes ini untuk dikemukakan kepada CAS dengan usaha mengenepikan hukuman yang dikenakan oleh FIFA.
"Barisan peguam dari luar negara yang dilantik akan menilai dengan penuh teliti segala dokumen dan FAM tidak akan berdiam diri dalam kes ini yang mana kami akan menggunakan segala ruang dan peluang yang ada untuk menuntut keadilan," katanya sebagai reaksi kepada keputusan FIFA pada Isnin mengekalkan hukuman penggantungan 7 pemain warisan Harimau Malaya tersebut.
Beliau juga menekankan bahawa FAM juga tidak akan berganjak atau tunduk dengan keputusan terbaharu FIFA yang dipercayai mempunyai implikasi serius terhadap asa depan bola sepak Malaysia.
"Tempoh 21 hari untuk merujuk kes ke CAS tidak akan disia-siakan sebaliknya FAM akan memanfaatkan sepenuhnya peluang itu untuk memastikan setiap aspek diteliti berhati-hati dan serius oleh pasukan pakar undang-undang yang mewakili FAM nanti," tegasnya lagi.
Kesemua tujuh pemain yang digantung FIFA atas dakwaan pemalsuan dokumen adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Pada masa yang sama, Yusoff juga mengakui bahawa perjuangan undang-undang ini akan memakan masa yang lama dan menelan kos tetapi menyatakan kesediaan FAM menanggung beban itu demi melindungi reputasi Malaysia di pentas antarabangsa.
"FAM sudah bersedia untuk turun dalam peperangan ini dan sedia menempuh pa jua cabaran mendatang demi menegakkan maruah bola sepak Malaysia," tegasnya lagi.





Komen