Pesara tentera ditahan SPRM disyaki terima rasuah RM405,000 jual aset PVATM
- kumara885
- 13 Okt
- 1 min membaca

GEORGE TOWN, 13 Oktober - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang hari ini telah menahan seorang pesara tentera selepas disyaki menerima rasuah berjumlah RM405,000 daripada seorang pemilik syarikat.
Menurut sumber, wang rasuah itu diterima sebagai balasan untuk menjual aset persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran.
Suspek seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 60-an itu ditahan sekitar jam 10 pagi Isnin selepas hadir memberikan keterangan membantu siasatan di pejabat SPRM Pulau Pinang.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar tahun 2015 yang mana suspek ketika itu memegang jawatan Ketua Penerangan PVATM.
"Suspek disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM405,000 daripada penjualan aset PVATM iaitu lima unit pangsapuri yang terletak sekitar Pulau Pinang.
"Suspek juga disyaki menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya dan kita berjaya mengesan sebanyak 12 transaksi membabitkan akaun tersebut," ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk S.Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.
Kata beliau, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Jelasnya lagi, suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth pada Rabu depan.





Komen