PN desak SPRM siasat rasuah lebih RM600,000 kaitkan Shamsul
- Editorial
- 26 Nov
- 2 min membaca

PUTRAJAYA - Perikatan Nasional selaku blok pembangkang mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menjalankan siasatan menyeluruh dengan kadar segera erhadap dakwaan rasuah lebih RM600,000 yang mengaitkan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan pada Rabu sambil melontarkan desakan itu berkata, siasatan itu perlu dijalankan secara bebas selepas dakwaan pegawai kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sendiri dikaitkan dalam skandal tersebut.
"Saya mendesak agar SPRM segera melakukan siasatan berhubung dakwaan rasuah ini.
"Jika tidak ia akan memberi kesan dan implikasi besar yang berpotensi menggagalkan semua inisiatif serta janji kerajaan untuk memerangi rasuah, salah guna kuasa dan politik wang," katanya dalam kenyataan tersebut di sini.
Tambah Takiyuddin lagi, ahli Parlimen PN memandang serius pendedahan seorang ahli perniagaan kononnya beliau telah memberikan sebanyak lebih dari RM600,000 kepada Shamsul yang mana merupakan individu sama dikaitkan dengan skandal perlombongan mineral di Sabah yang mendapat perhatian ramai sebelum ini.
Jelasnya, ahli Parlimen PN juga menggesa semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau sebaliknya supaya memberikan kerjasama penuh kepada SPRM untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan tersebut.
"Sebarang salah laku oleh mana-mana pihak hendaklah diambil tindakan mengikut undang-undang tanpa pengecualian atau pilih kasih," tegasnya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa ahli perniagaan yang dikenali sebagai Albert Tei mendakwa, dia memberikan RM629,000 kepada Shamsul atas alasan diyakinkan boleh mendapat kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.
Dakwa Albert Tei, dia telah menyusun dokumen setebal lebih 300 muka surat, termasuk tangkapan skrin perbualan WhatsApp dan resit untuk menguatkan dakwaannya.
Antara lain, Albert Tei mendakwa membayar untuk pengubahsuaian, perkakas dan perabot untuk dua hartanah iaitu satu di Bangsar, Kuala Lumpur serta kediaman pegawai kerajaan di Putrajaya.





Komen