top of page

Polis buru 3 suspek serang wartawan sukan, rakam video

  • S.KUMARA
  • Nov 25
  • 1 min membaca
ree

KUALA LUMPUR - Polis sedang giat memburu tiga suspek lelaki yang disyaki menyerang dan memukul wartawan sukan Haresh Deol sehingga tercedera dalam kejadian yang berlaku di Jalan Maarof, berhampiran parkir pusat beli-belah Bangsar Village pada Selasa.


Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook telah mengesahkan kejadian tersebut.


Katanya, polis menerima laporan daripada mangsa berkaitan kejadian kira-kira jam 4 petang tadi.


“Kes terbabit melibatkan tiga suspek yang mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki yang merupakan wartawan sukan.


“Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan (luka) pada bahagian muka, tangan dan badan kerana terjatuh semasa cuba menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.


Tambah Chang Hook, kesemua suspek masih belum dikenal pasti dan tindakan mengesan individu terlibat sedang dijalankan.


“Pegawai penyiasat akan memohon Perintah OTI (Order to Investigate) daripada Timbalan Pendakwa Raya esok bagi mendapatkan kebenaran untuk menjalankan siasatan lanjut.


"Polis sedang menyiasat kes di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-dua sekali jika disabitkan bersalah.


“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Adnan Alias, di talian 019-2162272,” tegasnya lagi.


Rentetan daripada insiden tersebut, Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM), Geramm telah membidas jenayah serangan ke atas wartawan sambil mendesak polis menyiasat kes dan menangkap suspek yang bertanggungjawab di sebalik perbuatan jenayah itu. - malaysiatoday



Komen


bottom of page