top of page

Polis P.Pinang bongkar 'phone scam' dalam dua rumah banglo

  • S.KUMARA
  • 28 Nov
  • 1 min membaca
ree

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang telah berjaya membongkar operasi sindiket scam telefon yang beroperasi secara rahsia di dalam dua unit kediaman banglo di negeri tersebut.


Sindiket yang mensasarkan warga atau rakyat Jepun sebagai mangsa digempur dan dilumpuhkan dalam satu operasi tergempar yang dijalankan di Simpang Ampat, daerah Seberang Perai pada 20 November lalu.


Ketua Polis Pulau Pinang, Komisioner Datuk Azizee Ismail berkata, hasil serbuan berjaya membawa pasukan kepada tangkapan seramai 13 lelaki dan seorang wanita warga Jepun serta empat lelaki warga China kesemuanya berusia antara 25 hingga 51 tahun.


Katanya, kesemua suspek yang ditahan mengaku bekerja sebagai operator pusat panggilan (call centre) sejak tiga bulan lalu dengan menerima gaji antara RM5,000 hingga RM8,000 sebulan.


"Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan aplikasi Telegram untuk mendapatkan maklumat mangsa sebelum menyamar sebagai polis Jepun.


"Mereka kemudian menggunakan aplikasi Go (Japan) bagi menguruskan transaksi kewangan bagi memperdaya mangsa di negara Jepun," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.


Tambah beliau, dalam serbuan pertama, polis berjaya melakukan rampaan sebanyak 24 telefon bimbit pelbagai jenama,lapan tablet iPad, lima unit numeric keypad, dua buah walkie talkie, 11 set skrip penipuan dalam bahasa Jepun dan satu papan putih jadual tugas dalam bahasa Jepun.


Jelasnya lagi, serbuan kedua berjaya membawa kepada rampasan tiga unit komputer riba, 25 telefon bimbit, lima tablet iPad, dua buah walkie talkie, 14 set skrip penipuan dalam bahasa Jepun, dua kunci rumah dan tiga alat kawalan pintu pagar.


"Kesemua 18 suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut polis yang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


"Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dihukum penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan denda," tegas beliau lagi.

Komen


bottom of page