top of page
  • kumara885
  • 5 hari lalu
  • 1 min membaca
ree

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat insiden pencerobohan di kawasan transit aliran massa (MRT) Taman Desa selepas pagar di lokasi berkenaan ditemui dalam keadaan terbuka dan dipercayai dipotong.


Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu daripada Polis Bantuan MRT Laluan Putrajaya pada jam 12.41 tengah hari tadi semalam.


“Hasil pemeriksaan polis bantuan di lokasi mendapati pagar dipercayai telah dipotong sekitar jam 6.30 pagi dan terdapat kabel komunikasi milik MRT yang dilonggokkan berhampiran tiang Pier 0373,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata, semua kabel yang dijumpai telah dibawa ke Depoh Serdang oleh pihak Signaling and Communication (S&C) untuk rujukan syarikat serta untuk mengukur semula panjang kabel bagi menentukan jumlah yang telah dicuri.


“Kes masih dalam siasatan pihak polis” katanya secara ringkas.


Sebelum ini, media melaporkan bahawa gangguan operasi MRT Laluan Putrajaya yang menyebabkan perkhidmatan tren dijalankan secara manual sejak pagi Sabtu disyaki berpunca daripada kecurian kabel komunikasi dan sistem semboyan.


Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), Amir Hamdan berkata, pasukan teknikal bersama pakar sistem asal (OEM) sedang melaksanakan kerja pembaikan dan pemulihan menyeluruh bagi memastikan operasi kembali stabil secepat mungkin.


Buat masa ini, sistem masih beroperasi secara tidak konsisten dan belum dapat diperbetulkan sepenuhnya.


Komen


bottom of page