Polis siasat penunggang motosikal pecah cermin kereta di Link Kedua
- Editorial
- 2 Dis
- 1 min membaca

ISKANDAR PUTERI – Polis sedang menyiasat tindakan seorang penunggang motosikal bernombor pendaftaran Singapura selepas dipercayai membaling batu ke arah sebuah kereta sehingga menyebabkan cermin belakang kenderaan itu pecah.dalam insiden di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M.Kumarasan mengesahkan pihaknya menerima laporan polis yang dibuat oleh pemilik kereta berusia 30 tahun pada hari yang sama selepas kejadian tersebut.
Katanya, berdasarkan laporan mangsa, kejadian berlaku pada kira-kira jam 8.20 pagi di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura berhampiran Plaza Tol Perling, menghala ke Taman Bukit Indah, Johor Bahru.
“Pemandu kereta mendakwa dia membunyikan hon selepas penunggang motosikal itu menukar lorong secara tiba-tiba.
“Penunggang itu kemudian mengejar kereta berkenaan sebelum didakwa membaling batu ke arah cermin belakang kereta sehingga pecah,” katanya.
Jelas beliau, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, yang membawa hukuman penjara satu hingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
"POlis sedang mengesan suspek untuk membantu siasatan lanjut.
"Kes turut disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya, yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000," tegasnya.
Beliau turut menggesa saksi yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pusat Kawalan Polis Daerah di 07-5113622 atau talian hotline 24 jam di 07-5114486.





Komen