Prabakaran, Punithan harap Malaysiatoday jadi wadah berita tepat, neutral
- kumara885
- 18 Okt
- 2 min membaca

Prabakaran, Punithan harap Malaysia Today jadi wadah berita tepat, neutral
KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Ahli Parlimen Batu Prabakaran meluahkan harapannya agar portal berita baharu malaysiatoday.com.my yang dilancarkan secara rasmi kepada rakyat pada hari ini menjadi wadah baharu yang menyampaikan berita berfakta dan tepat kepada rakyat jelata negara ini.
Berucap di majlis pelancaran portal tersebut di pekarangan tempat letak kereta Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu, wakil rakyat muda itu berkata, walaupun terdapat pelbagai portal dan laman berita di negara ini, malaysiatoday perlu menjadi platform perjuangan yang jitu dan berprinsip dalam membawa suara rakyat kepada kerajaan.
"Walaupun terdapat macam-macam portal berita di negara ini, media baharu dalam era digital ini perlu menjadi platform yang neutral menyampaikan perjuangan pemimpin secara integriti dan benar kepada rakyat tanpa memesongkan fakta sebenar.
"Sekiranya ia tidak dibuat maka, akan wujud persepsi atau tanggapan negatif rakyat terhadap sesuatu mesej murni yang dibawa oleh seorang pemimpin di lapangan.
"Saya yakin malaysiatoday yang dilancarkan hari ini mampu menjadi platform berita neutral membawa suara rakyat ke arah masa depan cerah dan saya sebagai wakil rakyat bersedia memberikan sokongan kepada portal segar ini untuk membina rakyat yang bermaklumat," katanya di Majlis Pelancaran tersebut.
Turut berpendapat sama, Naib Presiden Perikatan Nasional Punithan Paramasivam yang meletakkan harapan agar portal baharu malaysiatoday akan mendokong berita dan permasalahan semua lapisan masyarakat tanpa berat sebelah dalam menyatakan kebenaran.
"Saya faham portal berita ini baru dilancarkan dalam tiga versi iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris dan Tamil dan perjalanannya masih jauh.
"Apa pun saya harap akan ia (malaysiatoday) mencakupi berita semua lapisan masyarakat.
"Paling penting sekali, diharap ia memainkan berita secara neutral tanpa berat sebelah dan mesej yang disampaikan juga tepat dan berfakta kepada rakyat.
"Saya juga yakin malaysiatoday akan melangkah lebih jauh dan jadi wadah perjuangan baharu serta menyinar untuk rakyat kita nanti," tegasnya di majlis yang sama.





Komen