top of page

PRN-17 Sabah: DAP 'bungkus' di enam kerusi DUN, dirampas Warisan

  • Editorial
  • 30 Nov
  • 2 min membaca
ree


SHAH ALAM - Parti DAP telah mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 semalam apabila tersungkur di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi parti tersebut kali ini.


Malah parti itu juga gagal mempertahankan kerusi DUN yang pernah disandang sebelum ini pada PRN Sabtu kali ini.


Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata pihaknya mengambil tanggungjawab terhadap kegagalan parti berkenaan mempertahankan sebarang kerusi yang disandang sebelum ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.


Katanya, pucuk pimpinan parti mengambil iktibar daripada keputusan itu dan menilai semula segala kelemahan serta berusaha untuk memenangi semula sokongan rakyat pada pilihan raya akan datang.


“DAP Sabah gagal mempertahankan sebarang kerusi yang disandang sebelum ini. Kami menerima dan menghormati keputusan oleh para pengundi di 8 kawasan yang ditandingi oleh DAP.


“Kami juga mengucapkan tahniah kepada parti dan calon yang telah diberi mandat oleh pengundi di kawasan-kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.


DAP bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Elopura diwakili Setiausaha DAP Sabah merangkap Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong; DUN Sri Tanjung diwakili Ketua DAPSY Tawau, Philip Yap Wui Lip; DUN Luyang diwakili oleh Setiausaha Eksekutif DAPSY Sabah, Chan Loong Wei.


Sementara itu, bagi DUN Likas diwakili oleh Pengerusi DAP Sabah yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Datuk Phoong Jin Zhe; DUN Kapayan dikekalkan kepada Jannie Lasimbang, DUN Tanjung Papat diwakili Tang Szu Ching dan DUN Tanjung Aru diwakili Timbalan Pengerusi DAP Sabah merangkap Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin sementara Kemabong ditandingi bekas Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual.


Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Warisan memenangi kesemua enam kerusi yang dimenangi DAP pada 2020 iaitu Likas, Kapayan, Elopura, Luyang, Tanjong Papat dan Sri Tanjong.


Sekiranya keputusan itu disahkan, ia akan menjadi kali pertama sejak 2004 menyaksikan DAP tidak akan mempunyai wakil dalam DUN.


Dalam pada itu Anthony berkata, DAP Sabah masih mempunyai 2 wakil di peringkat Parlimen dan kedua-dua Ahli Parlimen tersebut akan meningkatkan usaha di kawasan Kota Kinabalu dan Sandakan.- malaysiatoday


Komen


bottom of page