PRN Sabah: BN umum 4 calon tambahan, bertembung dengan PKR di Karamunting
- Editorial
- 2 hari lalu
- 1 min membaca

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah pada Rabu mengumumkan empat lagi calon tambahan untuk empat lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kali ini.
Perkembangan terkini itu menjadikan secara keseluruhan BN akan bertarung di 45 kerusi DUN pada PRN kali ini sebagai langkah memperkukuh barisan kepemimpinan dan kesiapsiagaan parti menghadapi pilihan raya tersebut.
Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata keputusan dibuat selepas meneliti perkembangan mutakhir serta hasil rundingan yang diperhalusi bagi memastikan representasi parti lebih menyeluruh dan strategik.
"Kerusi-kerusi tambahan ini diputuskan selaras dengan aspirasi BN untuk memastikan representasi yang lebih menyeluruh, berimbang dan strategik, sesuai dengan keperluan rakyat serta dinamika politik negeri," katanya dalam kenyataan pada hari ini.
Empat calon baharu yang diterpilih bertanding ialah Willey Lampaki bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N06 Bandau; Rahmah Jan Sulaiman (N43 Kemabong); Datuk Chin Kim Hiung (N54 Karamunting) dan Chaya Sulaiman (N70 Kukusan).
Beliau berkata penambahan itu mencerminkan komitmen berterusan BN Sabah untuk memastikan setiap komuniti di kawasan pilihan menerima pembelaan serta khidmat terbaik daripada calon berwibawa dan bersedia menggalas amanah rakyat.
"Jentera parti di semua peringkat diminta untuk menggiatkan persiapan dan melaksanakan gerak kerja secara tersusun, inklusif dan berfokus demi memastikan kemenangan dan mandat rakyat kembali kepada BN," katanya.
Dalam pada itu, BN dilihat bakal bertembung dengan parti gabungan Perpaduan Madani iaitu PKR yang turut meletakkan calon di DUN Karamunting.




Komen