PRN Sabah diadakan pada 29 November ini - SPR
- kumara885
- 17 Okt
- 1 min membaca

KOTA KINABALU, 16 Oktober - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari ini mengumumkan bahawa Pilihan Raya Negeri Sabah akan diadakan pada 29 November depan.
Manakala, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 15 November ini diikuti proses undi awal adalah 25 November depan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun mengumumkan tarikh-tarikh penting tersebut selepas mempengerusikan mesyuarat menerusi sidang akhbar Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah ke-17 di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini pada Khamis.
Kata Ramlan, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berhubung dengan pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Sabah ke-16 pada 6 Oktober lalu.
“Sehubungan itu, SPR telah mengadakan mesyuarat khas pada hari ini dan memutuskan PRU Dewan Undangan Sabah ke-17 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 73 kerusi dewan undangan tersebut.
“Bagi maksud menjalankan PRU Dewan Undangan Sabah ke-17, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh penting iaitu hari penamaan calon pada 15 November 2025 (Sabtu), hari undi awal pada 25 November 2025 (Selasa) dan hari mengundi 29 November 2025 (Sabtu).
“Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 15 November 2025 (Sabtu) sehingga jam 11.59 malam, 28 November 2025 (Jumaat)," katanya.





Komen