PRN Sabah: PN Sudah muktamadkan pembahagian kerusi - Sanusi
- kumara885
- 19 Okt
- 2 min membaca

ALOR SETAR - Perikatan Nasional sudah memuktamadkan sepenuhnya pembahagian kerusi antara parti-parti komponen dalam gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 29 November depan.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rundingan kerusi telah selesai dan kini hanya menunggu pengumuman rasmi oleh pimpinan tertinggi parti tersebut.
"Kita sedang ‘finalize’ kerusi yang akan ditandingi. Rundingan sudah dimuktamadkan, cuma saya tidak boleh maklum lagi sehingga diumumkan oleh parti.
"Sudah ‘settle’ semua pembahagian kerusi antara parti-parti komponen PN, nanti saya umum berapa kerusi masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Deepavali kepada 1,000 penerima di Wisma Darul Aman di sini.
Menteri Besar Kedah itu juga menambah bahawa pengumuman rasmi mengenai calon dan kerusi bertanding dijangka dibuat sebelum tarikh penamaan calon yang ditetapkan pada 15 November ini.
Bagaimanapun katanya, jentera pilihan raya PN sudah mula digerakkan lebih awal di Sabah.
“Sabar... sabar... biar suspense sikit. Kalau saya bagi tahu semua hari ini, nanti tak ada berita dah. Apa pun kerja-kerja pilihan raya sudah bermula daripada sekarang. Sebelum penamaan calon nanti akan ada majlis pengumuman calon dan kerusi yang kita akan tandingi nanti," katanya.
Pada 16 Oktober lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun dalam sidang akhbar mengumumkan, tarikh penamaan calon pada 15 November manakala tarikh undi awal pada 25 November manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 29 November depan.
Sanusi juga diminta mengulas tentang pelantikan Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengarah Pilihan Raya Pas negeri Sabah.
Sebagai menjawab soalan itu, Sanusi memaklumkan bahawa ia adalah jawatan khusus bagi PRN negeri berkenaan dan tidak bertindih dengan peranannya sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat dan PN.
Jelas beliau, untuk PRN Sabah Annuar menjadi timbalannya dan bekas wakil rakyat Ketereh itu dilantik sebagai ketua di Sabah.
"Dia (Annuar Musa) ada pengalaman luas dalam UMNO dan kerja-kerja pilihan raya, jadi dia lebih sesuai untuk uruskan Sabah. Untuk senario politik Sabah, beliau lebih sesuai berbanding saya.
"Selain itu, faktor geografi dan kekangan masa antara sebab saya menyerahkan tanggungjawab itu kepada Annuar.
"Saya pun tak ada banyak masa nak pergi Sabah lama-lama, Annuar ada lebih banyak masa untuk fokus di Sabah.
"Sabah tak sama macam Kedah atau Kelantan. Nak pergi satu-satu DUN pun jauh, ambil masa lama. Saya harap Annuar boleh stesen di Sabah sampai pilihan raya hujung bulan November nanti," katanya.



Komen