PRN Sabah: Tiada parti akan dapat majoriti, jangka kerajaan campuran - Zahid
- Editorial
- 27 Nov
- 1 min membaca

KOTA KINABALU - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjangkakan tiada mana-mana parti bertanding yang akan memperolehi majoriti jelas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada Sabtu ini.
Beliau meramalkan, berkemungkinan keputusan itu akan membuka laluan kepada pembentukan kerajaan campuran di negeri di bawah bayu itu pada kali ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga menambah bahawa berdasarkan "bacaannya", persaingan banyak parti di kebanyakan kerusi menunjukkan tiada gabungan yang mampu muncul dominan, sekali gus memerlukan kerjasama politik bagi memastikan kestabilan Sabah.
"Bacaan saya pada 29 hari bulan nanti, kita tahu tidak akan ada satu parti pun yang dominan di Sabah, bacaan saya akan ada kerajaan campuran sekali lagi di Sabah.
"Kita mahu melihat bahawa kestabilan politik di Sabah ini diberi keutamaan. Kita mahu (projek lebuh raya) Pan Borneo Sabah diselesaikan dalam tempoh lima tahun, kita mahu masalah tiga serangkai diselesaikan, iaitu infrastruktur, bekalan elektrik dan juga air … rakyat Sabah layak untuk mendapat jalan raya yang baik, air bersih yang baik dan elektrik yang baik supaya boleh hidup dengan aman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Masyarakat Kaum India Sabah di Inanam hari ini.
Tambah Ahmad Zahid, walaupun PRN kali ini menyaksikan pertembungan hingga 14 penjuru di beberapa kawasan, proses itu mencerminkan festival demokrasi yang menjadi keunikan Sabah.
Jelasnya lagi, nilai toleransi kaum dan agama sebagai antara kekuatan utama masyarakat Sabah, malah menyifatkan kadar penerimaan sosial di Sabah dan Sarawak lebih tinggi berbanding di Semenanjung. - malaysiatoday.com.my





Komen