PRN Sabah: tiada soal pinjam-pinjam dalam politik - Hajiji
- Editorial
- 7 Nov
- 1 min membaca

KUALA PENYU - Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan tidak wujud konsep calon ‘pinjam’ dalam politik ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) nanti.
Beliau menegaskan bahawa GRS hanya akan meletakkan calon yang berpotensi menang bagi memastikan kemenangan gabungan itu dalam pilihan raya akan datang.
"Mana ada pinjam-pinjam dalam politik. Kita akan letakkan calon yang boleh menang dan kita yakin boleh menang dalam pilihan raya umum akan datang," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Buku Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Pekan Kecil Menumbok di tapak tamu Pekan Menumbok, di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa terdapat parti lain cuba ‘meminjam’ calon berpotensi di kawasan tertentu untuk kemenangan parti tersebut.
Bercakap mengenai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu, beliau yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengesahkan Datuk Limus Jury kekal sebagai calon GRS untuk mempertahankan kerusi tersebut pada PRN kali ini.
"Tadi saya sudah bagi ‘hint-hint’… ‘confirm’ (calon)," katanya ringkas.
Sebelum itu, dalam ucapannya, beliau yakin kerusi DUN Kuala Penyu kekal milik GRS pada PRN kali ini.
"Saya harap rakyat kita bukan saja di Menumbok ini ataupun di Kuala Penyu ini, saya yakin Kuala Penyu ini akan menjadi milik calon daripada GRS.
"Sokong Datuk Limus, orangnya baik, ada perancangan, ada wawasan. Kita mahu pemimpin-pemimpin yang kita pilih ini betul-betul bekerja untuk rakyat," katanya.
Hajiji dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif pembangunan yang dilaksanakan Limus di Kuala Penyu dan Menumbok termasuk bantuan pendidikan menerusi Yayasan Limus Jury.





Komen