Remaja antara tiga suspek ditangkap kes tembak mati lelaki SOSMA di Klang
- S.KUMARA
- 2 hari lalu
- 2 min membaca

Remaja antara tiga suspek ditangkap kes tembak lelaki rekod SOSMA di Klang
SHAH ALAM – Seorang remaja antara tiga suspek lelaki berjaya diberkas oleh polis untuk membantu siasatan kes tembak mati seorang lelaki yang memiliki rekod jenayah bawah SOSMA di sebuah stesen minyak di Bukit Tinggi, Klang dekat sini Oktober lalu.
Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua suspek yang berusia antara 19 hingga 35 tahun itu ditangkap sekitar Bandaraya Diraja Klang baru-baru ini.
Katanya, ketiga-tiga suspek itu kini direman sehingga 17 November ini untuk membantu siastan lanjut polis.
"Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun jika disabitkan kesalahan.
“Siasatan masih berlangsung namun saya tidak boleh beri ulasan secara terperinci kerana melibatkan sensitiviti kes tersebut," katanya dalam satu sidang media khas yang diadakan di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Tambah beliau dalam perkembangan berkaitan, buat masa ini siasatan dilakukan dalam pelbagai aspek dan tidak boleh menjurus kepada kongsi gelap sahaja berdasarkan latar belakang mangsa itu sendiri.
"Jadi, beri ruang dan peluang polis lakukan siasatan secara adil dan menyeluruh," ujarnya lagi.
Sebelum ini media melaporkan bahawa polis mengesahkan lelaki yang mati ditembak di sebuah stesen minyak pada Jumaat lalu tersebut mempunyai rekod berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan dikehendaki polis.
Mangsa yang maut berusia 34 tahun dan tidak bekerja disahkan maut akibat kesan beberapa das tembakan pada dada dan perut.
Polis telah merekodkan keterangan daripada tujuh individu melibatkan isteri dan ahli keluarga serta saksi kejadian tersebut.
Dalam kejadian pukul 11.13 malam itu, mangsa telah ditembak beberapa kali oleh seorang penyerang yang menunggang motosikal di dada dan perut ketika sedang mengisi petrol untuk keretanya.-malaysiatoday




Komen