Ribut Tropika Senyar: Penunggang motosikal mangsa korban pertama
- Editorial
- 28 Nov
- 1 min membaca

KUALA LUMPUR - Kes kematian pertama akibat ribut Tropika Senyar yang melanda seawal tengah malam Jumaat hingga Sabtu telah dilaporkan berlaku di Melaka kali ini apabila seorang penunggang motosikal terkorban, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nor Hisham Mohamad berkata mangsa telah meninggal dunia selepas melanggar pokok tumbang di Jalan Selandar menghala ke Machap dalam kejadian pada jam kira-kira 6.57 pagi Jumaat.
Jelasnya, berdasarkan statistik dari malam Jumaat sehingga jam 8 pagi tadi, sebanyak 49 kes pokok tumbang telah direkodkan di lima negeri iaitu Perak, Selangor, Putrajaya, Melaka dan Negeri Sembilan.
“Kuala Lumpur juga berada dalam jajaran ribut ini namun setakat ini, tiada sebarang laporan tentang insiden pokok tumbang diterima.
“Kes kematian ini bukan secara langsung disebabkan Senyar, namun merupakan kejadian lanjutan akibat tempias ribut tersebut,” katanya di Majlis Sambutan Hari Integriti Peringkat JBPM di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau turut menambah bahawa kejadian tanah runtuh, runtuhan struktur dan banjir turut berlaku di Negeri Sembilan.
“Secara keseluruhan, Negeri Sembilan merekodkan impak paling teruk dengan 33 kes pokok tumbang, satu tanah runtuh, satu runtuhan struktur dan dua lokasi banjir.
“Negeri-negeri lain masih dalam keadaan stabil, namun pemantauan rapi diteruskan.
“Malah sehingga jam 2 pagi tadi, saya masih memantau situasi Senyar melalui bilik kawalan bagi memastikan tindak balas jabatan berada pada tahap terbaik,” tegasnya lagi. - malaysiatoday.com.my





Komen