'Robin Hood' dalang sebenar sindiket dadah RM76 juta tersungkur
- S.KUMARA
- 24 Nov
- 3 min membaca
Updated: 25 Nov

KUALA SELANGOR –Perlakuan seorang lelaki tempatan yang berlagak dengan watak 'Robin Hood' dalam kalangan penduduk kampung dalam soal kebajikan membongkar wajah sebenar individu itu yang rup-rupanya merupakan dalang utama sindiket memproses dan mengedar dadah di sebalik perniagaan besi buruk, ladang ayam dan penternakan lembu selama ini.
Suspek berusia lingkungan 30-an itu dipercayai selama ini menunjukkan imej dermawan, sering memberi bantuan kewangan serta mudah menghulur pertolongan kepada sesiapa yang memerlukan, sekali gus menjadikannya ‘topeng’ sempurna untuk menyembunyikan kegiatan jenayah dadah secara aktif sejak awal tahun 2024.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis berjaya menghidu kegiatan jenayah dadah suspek selepas terlibat dalam risikan secara senyap selama lima bulan.
Katanya, berdasarkan hasil risikan pasukan Narkotik berjaya melancarkan empat siri serbuan secara tergempar di sekitar Lembah Klang pada 19 November lalu.
"Serbuan pertama telah dijalankan pasukan polis di Bukit Rahman Putra, Shah Alam sebelum berjaya membawa kepada penahanan ketua sindiket ini yang menyamar dengan wajah 'Robin Hood' di sebalik aktiviti amal selama ini.
"Pemeriksaan lanjut di rumah ketua sindiket itu berjaya membawa kepada rampasan dadah jenis methamphetamine seberat 5 kilogram, heroin base dan wang tunai RM1 juta disyaki hasil kegiatan dadah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di sini pada Isnin.
Jelasnya lagi, siasatan mendapati, suspek memiliki tujuh rekod lampau membabitkan kesalahan dadah dan jenayah.
Tambah beliau, kemudian pihaknya telah melaksanakan serbuan kedua di sebuah rumah yang terletak di Bestari Jaya (Batang Berjuntai) sebelum membawa kepada penahanan tujuh lelaki termasuk dua warga asing yang dipercayai membantu operasi pemprosesan dan penghantaran dadah dalam rangkaian itu.
Menurutnya, kegiatan sindiket terbabit sangat tersusun menggunakan beberapa lokasi termasuk rumah sewa, stor simpanan dan sebuah gudang besi buruk yang dijadikan makmal pemprosesan dadah berskala besar.
"Kita turut melakukan serbuan ketiga yang berjaya membawa pasukan kepada penemuan terpenting dalam kes ini apabila polis menyerbu sebuah gudang besi buruk di Batang Berjuntai yang dikesan sebagai makmal utama sindiket dadah tersebut.
"Pemeriksaan di dalam berjaya merampas tong warna putih disyaki mengandungi cecair dadah jenis methamphetamine dengan berat keseluruhan 1,300 kilogram.
"Selain itu, turut ditemui 43 tong berwarna hitam juga mengandungi cecair dadah yang sama seberat 1,075 kilogram serta pelbagai mesin dan peralatan memproses dadah," ujarnya lgi.
Hussein turut menegaskan bahawa polis di lokasi serbuan itu turut menjumpai ladang ternakan ayam dan lembu selain kedudukan lokasinya yang terselindung dari pandangan awam.
Katanya, serbuan terakhir kemudian diteruskan di kawasan Bestari Jaya sebelum membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki tempatan yang disyaki anggota sindiket tersebut.
"Secara keseluruhan, polis merampas 2,381 kilogram dadah dengan nilai RM76.2 juta yang mampu menampung hampir 12 juta pengguna dan nilai keseluruhan rampasan serta sitaan termasuk wang tunai dan dua kenderaan mewah telah mencecah nilai RM77.46 juta.
"Siasatan lanjut kami mendapati, sindiket ini dipercayai mempunyai struktur lengkap merangkumi kewangan, proses, edaran dan penyelarasan, malah dipercayai mendapatkan bekalan bahan 'base' dadah dari sebuah negara utara bagi menghasilkan syabu dalam jumlah besar.
"Taktik menunjukkan diri sebagai orang baik dan penderma dalam kalangan penduduk kampung adalah strategi mereka untuk mengaburi mata masyarakat tetapi pada hakikatnya, mereka menjalankan operasi dadah yang berskala besar secara senyap," jelasnya.
Katanya lagi, saringan awal ujian air kencing mendapati tiga daripada sembilan suspek yang ditahan itu dikesan positif dadah.
Malah katanya, kesemua suspek itu kini direman antara tujuh hingga 10 hari untuk membantu siasatan lanjut polis di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahannya.- malaysiatoday.com.my





Komen