top of page

Rumah kedai 3 tingkat jadi sarang pelacuran warga asing terkubur

  • S.KUMARA
  • 2 Dis
  • 2 min membaca
Sindiket pelacuran warga asing yang giat aktf secara senyap di rumah kedai 3 tingkat terkubur digempur JIM. Foto Ihsan: JIM
Sindiket pelacuran warga asing yang giat aktf secara senyap di rumah kedai 3 tingkat terkubur digempur JIM. Foto Ihsan: JIM

KLANG - Kegiatan pelacuran membabitkan warga asing didalangi warga tempatan bernama dengan mengupah seorang 'kapten' warga Bangladesh menguruskan aktiviti seks itu secara aktif dan berselindung di sebalik nama syarikat pengurusan hartanah dan import eksport akhirnya terbongkar.


Kegiatan mereka secara bersembunyi dengan menjadikan rumah kedai tiga tingkat sebagai sarang kegiatan tidak bermoral itu akhirnya terkubur juga apabila berjaya digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Operasi Penguatkuasaan di rumah kedai tersebut yang terletak di kawasan Klang Sentral, Selangor pada Isnin jam 10.25 malam.


Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan dibuat berdasarkan aduan awam dan risikan oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya selama dua minggu.


Katanya, berdasarkan maklumat yang diperolehi, pasukan operasi dengan kekuatan seramai 14 pegawai pelbagai pangkat telah diatur gerak ke kawasan tersebut. Seramai 21 individu terdiri daripada sembilan lelaki dan sembilan perempuan warganegara asing serta satu lelaki dan dua kanak-kanak lelaki warganegara tempatan telah diperiksa dalam operasi ini.


ree

"Hasilnya, seramai lapan lelaki warganegara Bangladesh dan sembilan perempuan warganegara Vietnam berumur di antara 21 hingga 32 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.


"Antara kesalahan yang dikenalpasti termasuk tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah. Kesemua yang ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Per.39(b) Peraturan Imigresen 1963.


"JIM turut mengeluarkan satu saman kepada saksi (Borang 29) terhadap salah seorang pelanggan di lokasi tersebut," katanya dalam kenyataan kejayaan tersebut yang dikeluarkan di Putrajaya pada pagi Selasa.


ree

Tambah Zakaria lagi, siasatan pihaknya mendapati modus operandi kegiatan tidak bermoral tersebut adalah dengan menyediakan tempat penginapan bagi wanita warganegara asing ini menjalankan aktiviti mereka dengan berselindung di sebalik nama syarikat pengurusan hartanah dan import eksport seperti yang dipamerkan menerusi papan tanda di luar bangunan tiga tingkat tersebut.


"JIM mendapati sarang pelacuran ini diuruskan oleh seorang lelaki warganegara Bangladesh yang bertindak sebagai ‘Kapten’ atau penjaga premis di mana sasaran mereka adalah dari kalangan warga asing yang berada di dalam kawasan berhampiran lokasi tersebut.


"Salah seorang pelanggan warga asing yang ditahan mengaku membayar sebanyak RM50 hingga RM80 kepada ‘Kapten’ bagi setiap sesi perkhidmatan seks yang ditawarkan.


"Dianggarkan jumlah keuntungan yang diperolehi setiap wanita warga asing tersebut adalah sebanyak RM400 hingga RM600 sehari bergantung kepada jumlah pelanggan.


ree

"Siasatan awal mendapati ‘Kapten’ telah diupah untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral ini oleh seorang lelaki warganegara tempatan yang dikenali sebagai ‘Kevin’," ujarnya lagi.


Justeru katanya, hasil penggeledahan dalam setiap bilik wanita turut menemui sebilangan besar alatan untuk menjalankan kegiatan seks seperti kondom dan gel pelincir pelbagai jenama.


Menurut beliau, kesemua warga asing tersebut ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.


"JIM tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI," tegas beliau lagi. - malaysiatoday.com.my




Komen


bottom of page