Salahlaku: Pegawai pengurusan tertinggi kementerian direhatkan
- BERNAMA
- Nov 10
- 1 min membaca

PUTRAJAYA - Seorang pegawai pengurusan tertinggi di sebuah kementerian telah direhatkan serta-merta berikutan tuduhan salah laku yang diterima terhadapnya.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, tindakan itu diambil bagi membolehkan siasatan terhadap dakwaan salah laku berkenaan ke atas pegawai terbabit dimulakan segera.
"Saya mengambil maklum berkenaan satu kes tuduhan salah laku melibatkan pegawai pengurusan tertinggi di sebuah kementerian.
"Oleh yang demikian, pegawai itu akan direhatkan serta-merta sementara siasatan salah laku dimulakan segera," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Shamsul Azri, sekiranya pegawai terbabit didapati bersalah, tindakan tatatertib akan diambil selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan juga tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran tatakelola atau salah laku melibatkan pegawai awam. - Bernama





Komen