Sekutu dan kakak Jho Low diperintah bayar AS$2.8 bilion kepada 1MDB
- Editorial
- 25 Nov
- 3 min membaca

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa memerintahkan sekutu kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan kakaknya membayar hampir AS$2.8 bilion kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berhubung peranan mereka dalam menerima dan menyembunyikan dana yang diselewengkan.
Hakim Mahazan Mat Taib memutuskan demikian selepas membenarkan 1MDB dan empat anak syarikatnya selaku plaintif memasukkan penghakiman ingkar terhadap Tan Kim Loong dan Low May Lin yang gagal memasukkan kehadiran di mahkamah dan tidak memfailkan pembelaan.
Mahazan berkata, Kim Loong yang juga defendan kedua dikehendaki membayar AS$2,795,333,000 sementara May Lin (defendan keempat) sebanyak AS$809,319.
Ketika membaca keputusan, beliau berkata, plaintif telah membuktikan tuntutan terhadap kedua-dua defendan terbabit.00:3
02:01
“Kedua-dua defendan telah menyembunyikan penipuan mereka dengan menyeleweng dana terbabit sehingga menyebabkan mereka memperoleh kekayaan secara tidak wajar.
“May Lin menerima AS$809,319 yang dimasukkan terus ke akaun peribadi melalui empat pemindahan daripada bapanya Tan Sri Larry Low Hock Peng,” katanya.
Beliau berkata, pemindahan itu dilakukan tanpa sebarang rasional komersial dan berpunca daripada dana yang diselewengkan melalui Good Star.
Selaku kakak, hakim berkata, peranan May Lin sebagai penerima manfaat peribadi dana yang diselewengkan, sesuai dengan corak penyembunyian berasaskan keluarga yang lebih luas.
Beliau menambah, semua plaintif telah membuktikan tuntutan mereka terhadap kedua-dua defendan atas imbangan kebarangkalian yang menyatakan, bukti mereka telah menggunakan dokumen korporat, carta aliran dana, rekod bank dan keterangan saksi, kekal tidak dicabar.
Katanya, bukti daripada bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir; pakar pemulihan aset luar pesisir yang juga pelikuidasi SRC International, Angela Barkhouse dan penyiasat penipuan kewangan di United Kingdom, Richard Templeman disokong sepenuhnya oleh dokumen.
Menurutnya, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, melaksanakan kawalan ‘de facto’ ke atas keputusan kewangan utama 1MDB.
Walaupun Jho Low, 44, tidak memegang sebarang jawatan rasmi, beliau berkata, ahli perniagaan kontroversi itu bertindak sebagai proksi dan pengarah bayangan Najib.
Justeru itu katanya, Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan 1MDB menganggap arahan Jho Low sebagai membawa kuasa Najib.
“Bukti dokumentari menunjukkan bahawa Kim Loong yang juga dikenali sebagai Eric Tan, merupakan pemilik benefisial bagi akaun Alsen Chance dan Blackstone, yang menerima AS$2.79 bilion yang dialihkan secara salah daripada 1MDB.
“Responden kedua itu berfungsi sebagai saluran penting bagi mencuci dana yang dicuri,” katanya yang turut memerintahkan Kim Loong dan May Lin membayar kos sebanyak RM500,000.
Pada Mei 2021, 1MDB dan anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) memfailkan saman terhadap lima defendan.
Mereka ialah Jho Low, Kim Loong, ayah Jho Low, Tan Sri Larry Low Hock Peng, May Lin, adik lelaki, Low Taek Szen dan ibu mereka, Puan Sri Goh Gaik Ewe serta selaku defendan pertama hingga keenam.
1MDB dan syarikat subsidarinya meminda tuntutan saman untuk menuntut RM15.54 bilion (AS$3.7 bilion) daripada semua defendan.
Berdasarkan writ pindaan, plaintif pertama menuntut RM2.77 bilion (AS$661 juta) daripada Jho Low.
Plaintif juga menuntut masing-masing RM172.23 juta (AS$41 juta), RM1.66 bilion (AS$397 juta), RM2.55 bilion (AS$608 juta) dan RM7.98 bilion (AS$1.9 bilion) daripada Jho Low dan Kim Loong manakala RM1.36 bilion (AS$325 juta) dituntut daripada Jho Low dan ayahnya Hock Peng.
Plaintif turut menuntut RM2.64 bilion (AS$630 juta) daripada Hock Peng, Jho Low dan Kim Loong, termasuk RM8.4 juta (AS$2 juta) daripada Taek Szen, Jho Low, dan Kim Loong.
Plaintif turut menuntut RM14.7 juta (AS$3.5 juta) daripada May Lin dan Jho Low serta RM7.14 juta (AS$1.695 juta) daripada Gaik Ewe, Jho Low dan Kim Loong berhubung pembelian barang emas dan keuntungan rahsia.
Turut dituntut RM107.12 juta (AS$25.5 juta) daripada Jho Low, Kim Loong, Hock Peng dan Taek Szen.
Mengikut penyata tuntutannya, plaintif mendakwa semua defendan terbabit dalam pelbagai penipuan ketika pemerintahan Barisan Nasional di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Plaintif mendakwa dimanipulasi oleh beberapa kumpulan individu termasuk Najib dan Jho Low yang mengendalikan penipuan berskala besar dan dalam tempoh yang panjang.
1MDB sebelum ini telah memperoleh penghakiman ingkar terhadap Jho Low, Larry dan Taek Szen pada tahun 2022 sementara perintah sama terhadap Gaik Ewe pada 2024.
Kim Loong dan Jho Low dilaporkan melarikan diri ke luar negara pada Mei 2015, diikuti defendan lain.





Komen