Semua MPT Bersatu setuju hentikan kemelut - Muhyiddin
- kumara885
- 5 Nov
- 1 min membaca

Semua MPT Bersatu setuju hentikan kemelut - Muhyiddin
PETALING JAYA – Semua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebulat suara bersetuju menghentikan kemelut dalaman parti demi mengukuhkan perpaduan dan kekuatan Bersatu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas yang diadakan di ibu pejabat parti itu di sini pada Selasa melibatkan kehadiran hampir semua kepimpinan tertinggi parti.
“Kita menghadapi sedikit sebanyak masalah, tetapi hari ini semua bersepakat supaya kita mencari jalan seberapa segera yang mungkin untuk kembali bertaut sebagai satu jamaah yang cukup padu dan kuat,” katanya kepada media pada Selasa.
Tambah Muhyiddin, MPT sepakat bahawa sebarang isu atau pertikaian berbangkit sebelum ini perlu segera dihentikan bagi memastikan tumpuan parti kekal kepada kebajikan rakyat serta persiapan menghadapi pilihan raya.
“Kami sedar perkara ini perlu diberhentikan. Tidak ada lagi apa-apa yang harus dibangkitkan,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pagoh itu turut memberitahu bahawa, Bersatu telah memuktamadkan pembahagian kerusi yang akan ditandingi di Sabah dengan rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) termasuk PAS dan Gerakan.
Katanya, beliau akan berada di Sabah pada 7 November ini bagi melancarkan jentera pilihan raya PN, sebelum mengumumkan senarai calon pada 11 November.
“Hari ini kita putuskan kerusi-kerusi yang kita akan tandingi daripada pihak Bersatu, tetapi rakan-rakan kita PAS dan Gerakan pun akan menyertai sama,” ujarnya.





Komen