Seorang pekerja maut, tujuh parah nahas van kilang
- S.KUMARA
- 1 Dis
- 1 min membaca

GEORGE TOWN – Seorang maut manakala tujuh lagi cedera parah selepas sebuah van kilang yang dinaiki pekerja terbabas dalam kejadian nahas jalan raya di Jalan Mount Erskine di sini awal pagi Isnin.
Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 6 pagi itu, van kilang berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas, menyebabkan empat daripada lapan mangsa tersepit di dalam kenderaan tersebut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.59 pagi sebelum sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal dan BBP Lebuh Pantai digerakkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah van kilang dengan lapan mangsa terlibat.
"Empat mangsa didapati tersepit dan kerja menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, kesemua mangsa yang tersepit dalam van berjaya dikeluarkan anggota bomba pada jam 7.17 pagi sebelum diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan polis untuk tindakan selanjutnya.
"Tujuh mangsa yang cedera parah terdiri daripada seorang lelaki iaitu pemandu van dan enam pekerja wanita berusia lingkungan 21 hingga 52 tahun.
"Sementara seorang lagi pekerja wanita disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian namun Identiti sebenar mangsa maut belum dikenal pasti lagi.
"Kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut," tegas beliau. - malaysiatoday.com.my





Komen