Seramai 4,518 Pegawai Perubatan Kontrak Ditawarkan Lantikan Tetap
- kumara885
- 19 Okt
- 2 min membaca

KUALA LUMPUR,19 Oktober- Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan bahawa sehingga 30 September 2025, seramai 4,518 pegawai perubatan kontrak telah ditawarkan lantikan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA).
Menteri Kesihatan Yang Berhormat Dato Seri Haji Dr. Dzulkefly Bin Ahmad berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 1,316 orang atau 29 peratus pegawai perubatan kontrak telah bersetuju menerima tawaran lantikan tetap bagi mengisi kekosongan di Sabah dan Sarawak.
"Jumlah ini meliputi penempatan seramai 548 di Sabah dan seramai 768 di Sarawak.
"Pegawai perubatan lantikan tetap ini akan melapor diri bertugas secara berfasa di Sabah dan Sarawak mulai 2 hingga 22 Oktober 2025," katanya menerusi jawapan bertulis dalam portal rasmi Parlimen baru-baru ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bandar Kuching Yang Berhormat Dr. Kelvin Yii Lee Wuen yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan secara terperinci jumlah pekerja kesihatan yang telah mendapat penempatan tetap pada tahun ini (doktor dan jururawat) dan berapa yang telah ditempatkan di Sabah dan Sarawak dan telah menerima penempatan tersebut.
Dalam perkembangan sama Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor menambah bahawa, bagi jururawat, KKM telah diberikan pengecualian lantikan kontrak
interim di bawah SSPA dan boleh melantik tetap jururawat mulai tahun 2025.
Jelas beliau, sehingga 30 September 2025, seramai 328 jururawat lantikan baharu telah dilantik tetap.
Justeru katanya, buat masa ini, pengisian jururawat di Sabah dan Sarawak dilaksanakan menerusi penempatan semula seramai 85 jururawat berpengalaman dari Sabah dan Sarawak yang sedang berkhidmat di Semenanjung ke fasiliti KKM di Sabah dan Sarawak.
"Usaha ini dibuat bagi memberi peluang kepada jururawat berpengalaman berasal dari Sabah dan Sarawak ini untuk kembali berkhidmat di wilayah asal.
"Secara keseluruhannya, seramai 47 jururawat telah ditempatkan di Sabah dan seramai 43 jururawat telah ditempatkan di Sarawak.
"Selain lantikan baharu dan penempatan semula jururawat, KKM juga sedang melaksanakan pelantikan seramai 636 jururawat masyarakat lulusan peningkatan secara lantikan (PSL) ke jawatan Jururawat Gred U5 bagi mengisi kekosongan jururawat di fasiliti KKM di Sabah dan Sarawak.
"Jururawat masyarakat lulusan PSL ini dijangka akan melaporkan diri di penempatan ditetapkan pada November 2025," tegasnya lagi.





Komen