Shamsul Iskandar buat laporan Polis dakwa Albert fitnah, ada niat jahat terhadap PM
- Editorial
- 26 Nov
- 1 min membaca

SHAH ALAM - Pemimpin PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pada hari ini membuat satu laporan polis terhadap seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Albert Tei yang mengaitkan beliau dengan penerimaan rasuah.
Bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri itu mendakwa Albert Tei telah melakukan fitnah dan konspirasi jahat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dakwanya, Albert telah membuat tohmahan dan tuduhan fitnah kononnya ada arahan daripada Perdana Menteri untuk membuat rakaman mengenai beberapa ahli politik Sabah.
"Di sela-sela kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Gum Gum, pada jam 5.05 petang tadi saya telah membuat laporan polis terhadap Albert Tei.
"Perbuatan tuduhan fitnah ini jelas satu konspirasi jahat untuk memburukkan imej PM (Perdana Menteri) dan usaha terancang untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik, apatah lagi di musim kempen Pilihan Raya Negeri Sabah," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.
Tambah bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu lagi, beliau bersedia untuk memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak polis mahu pun badan penguatkuasaan lain termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan memulakan siasatan dalam kes tersebut.
"Saya tidak akan membiarkan mana-mana individu menggunakan nama saya atau jawatan saya sebelum ini untuk cuba menjatuhkan kerajaan atau mencemarkan nama baik Perdana Menteri," tegas beliau.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki hari ini memaklumkan bahawa pihaknya akan memanggil Albert dan Shamsul Iskandar untuk memberi keterangan berhubung tohmahan penerimaan wang berkaitan lesen perlombongan.
Shamsul Iskandar meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri pada Selasa dengan mendakwa terdapat percubaan untuk menyerang beliau secara peribadi dan merosakkan imej kerajaan Madani. - malaysiatoday.com.my





Komen