Shamsul Iskandar hadir ke SPRM 12 tengahari bantu siasatan
- Editorial
- 28 Nov
- 1 min membaca

PUTRAJAYA – Bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.
Shamsul Iskandar dilihat tiba ke premis itu sekitar jam 12 tengah hari Jumaat untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan pemberian rasuah RM600,000 oleh seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Albert Tei.
Sumber memberitahu bahawa, kehadiran Shamsul Iskandar adalah sebahagian daripada proses pengumpulan keterangan yang sedang dijalankan SPRM susulan pendedahan dibuat sebuah portal berita baru-baru ini.
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan itu dan mengesahkan Albert Tei dan Shamsul Iskandar akan dipanggil untuk diambil keterangan sebagai membantu siasatan tersebut.
Tambah Azam, selain Shamsul Iskandar dan Albert, seorang wanita yang dikaitkan dalam klip video tular yang memaparkan perbualan bersama ahli perniagaan berkenaan, turut selesai memberi keterangan pada jam 2 petang semalam di Putrajaya.





Komen