'Siasat Anwar dan Azam Baki jika video itu tulen' - Hassan Karim
- EDITOR
- Nov 27
- 1 min membaca

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak supaya menyiasat rakaman video yang didedahkan oleh ahli perniagaan bernama Albert Tei yang mengaitkan Ketua Pesuruhjayanya SPRM Tan Sri Azam Baki, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.
Memetik laporan portal Malaysiakini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim bagaimanapun berpendapat bahawa di sisi undang-undang ketika ini, ia masih dianggap sebagai khabar angin.
“Bagaimanapun, SPRM mesti menyiasat video tersebut seperti didakwa Albert Tei. Jika ia tulen, maka Azam mesti disiasat.
“Untuk mengelakkan persepsi konflik berkepentingan, Azam perlu menarik diri daripada sebarang peranan dalam siasatan ini,” katanya veteran Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu lagi
pada Khamis.
Pada Rabu, tular video seorang wanita dengan wajah dikaburkan yang mendakwa Shamsul Iskandar bertemu dengan Azam untuk menyelesaikan kes melibatkan Albert.
Dalam perbualan sama, apabila Albert bertanya sama ada Shamsul Iskandar memberitahu Azam bahawa rakaman berkaitan skandal Sabah itu adalah 'arahan PM' (Anwar), wanita itu menjawab bahawa 'Azam tahu'.
Wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong kemudian muncul dalam video lain yang menafikan beliau sebagai proksi Shamsul Iskandar, selain berkata tidak pernah berjumpa atau berbincang dengan Anwar berhubung dakwaan Albert itu.
SPRM memaklumkan pihaknya akan memanggil Shamsul Iskandar dan Albert untuk dirakam keterangan membantu siasatan lanjut berhubung 'tohmahan' rasuah tersebut.
Sementara itu, Hassan turut berpendapat sekiranya video tersebut benar dan tulen, bukan sahaja Azam perlu disiasat, tetapi juga Anwar.
“Tiada kekebalan tersedia buat mana-mana Perdana Menteri daripada siasatan yang melibatkan sebarang bentuk kesalahan jenayah terutamanya rasuah dan salah guna kuasa,” ujar beliau. - malaysiatoday.com.my





Komen