top of page

Siasatan rasuah atas Albert Tei, Shamsul Iskandar dijangka lengkap dalam 7 hari - SPRM

  • Editorial
  • 30 Nov
  • 2 min membaca
ree

KUALA LUMPUR - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mengarahkan pasukannya memberi tumpuan dan melengkapkan siasatan melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing dalam tempoh tujuh hari.


Azam yang mengesahkan penahanan reman kedua-dua individu itu berkata, SPRM akan menjalankan siasatan secara profesional dan adil berlunaskan undang-undang yang termaktub.


“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009,” katanya dalam kenyataan di sini.


Terdahulu, Shamsul Iskandar dan Tei direman selama enam hari sehingga 4 Disember ini selepas Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan SPRM pada pagi 29 November 2025


Sementara itu, sumber memaklumkan, kes terbabit melibatkan dakwaan bahawa seorang ahli perniagaan telah memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri untuk mendapatkan semula wang yang diberikan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.  


“Dalam permohonan reman yang dikemukakan di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi, SPRM berhujah bahawa kes ini melibatkan kepentingan awam dan siasatan perlu dijalankan dalam tempoh sewajarnya..


“Walaupun mendapat bantahan daripada peguam kedua-dua suspek, Majistret Fatin Muneerah Sofian membenarkan permohonan reman selama enam hari sehingga 4 Disember 2025 dan tempoh ini dianggap perlu bagi melengkapkan siasatan secara menyeluruh,” menurut sumber tersebut lagi.


Menurut sumber sama, siasatan akan dijalankan dengan kadar segera sebelum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan lanjut dan pertuduhan dijangka dikenakan sekiranya keterangan serta bukti yang diperoleh dipersetujui pihak pendakwaan.


Semalam, Shamsul Iskandar, Tei dan Sofia Rini Buyong ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pemberian rasuah oleh Tei kepada Shamsul Iskandar bagi mendapatkan semula wang yang diberikan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah selepas mereka tampil memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada petang Jumaat minggu lalu.


Komen


bottom of page