top of page

Siasatan sudah selesai, menantu Muhyiddin akan diheret ke mahkamah - Azam Baki

  • kumara885
  • 31 Okt
  • 2 min membaca
AZAM BAKI
AZAM BAKI

SUBANG JAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah selesai melengkapkan siasatan ke atas ahli perniagaan Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan dan sedang menunggu proses pertuduhan di mahkamah.


Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya selesai merakam percakapan semua saksi bagi membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan projek di sebuah kementerian melibatkan menantu bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu yang kini dikesan berada di salah sebuah negara Timur Tengah dan seorang peguam Mansoor Saat.


"Kes ini telah selesai, satu-satunya perkara yang tinggal adalah kami mahu dia kembali (pulang ke Malaysia) kerana semua saksi telah dirakam percakapan, kami mahu mendakwa dia dan juga peguam (terbabit),” katanya secara ringkas pada Rabu.


Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Negara Anggota Asia Tenggara Memerangi Rasuah (SEA-PAC) ke-21 di sini.


Dalam perkembangan sama, Azam juga menambah bahawa pihaknya juga sedang menjejaki aset milik Muhammad Adlan di luar negara.


Bagaimanapun, pada masa sama beliau turut mengakui bahawa proses itu mengambil masa dan bukan sesuatu yang mudah kerana membabitkan kerjasama dengan pihak berkuasa negara lain.


"Siasatan terhadap aset yang dikenal pasti hanya akan diteruskan sekiranya ia mempunyai kaitan langsung dengan kes yang sedang disiasat sekarang.


"Setakat ini, kami tiada jawapan sama ada dia menggunakan proksi atau tidak, itu di luar pengetahuan kami tetapi kami percaya dia mempunyai aset di luar negara… jika tidak, bagaimana dia mampu untuk tinggal di sana,” ujarnya.


Selain itu Azam turut memaklumkan bahawa SPRM sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengesan lokasi sebenar Muhammad Adlan, selepas pasportnya dibatalkan oleh Jabatan Imigresen.


Beliau juga tidak menolak kemungkinan besar menantu bekas PM itu bergerak ke luar negara menggunakan dokumen perjalanan lain.


Sebelum ini SPRM dilaporkan sedang memburu Muhammad Adlan dan Mansoor bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.


Komen


bottom of page