Sila selesaikan saman JPJ sebelum 30 Dis atau sedia disenarai hitam
- S.KUMARA
- 6 Nov
- 1 min membaca

PUTRAJAYA - Orang ramai khususnya pesalah trafik di jalan raya diberi peringatan tegas agar menyelesaikan segera saman tertunggak mereka dalam tempoh diskaun dua bulan yang ditawarkan sehingga 30 Disember ini.
Kegagalan berbuat demikian bakal menyaksikan mereka akan disenarai hitam untuk tindakan sewajarnya, menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook hari ini.
Jelasnya, setakat ini lebih 5.5 juta saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masih belum diselesaikan lagi.
"Selepas 1 Januari 2026, sekiranya masih terdapat saman tertunggak yang belum dijelaskan, Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta lesen memandu boleh disenarai hitam.
"Maksudnya, mereka tak boleh memperbaharui LKM mereka dan ini akan diintegrasikan dalam sistem MySikap," katanya," katanya di Perhimpunan Bulanan dan Majlis Rumah Terbuka Deepavali Kementerian hari ini.
Tambah Loke lagi, jumlah saman tertinggi di bawah Notis JPJ (P) 22 dengan 3,685,164 saman tertunggak, diikuti kompaun melalui Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) dengan 1,387,384; Notis 114 (297,382), Notis 115 (161,669) dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (6,409).
Justeru katanya, pengguna jalan raya yang mempunyai saman tertunggak mempunyai tempoh sehingga 30 Disember depan untuk melunaskan semua saman tertunggak, dengan diskaun sebanyak 50 peratus dan selepas tamat tempoh berkenaan, JPJ akan melaksanakan tindakan mahkamah serta senarai hitam.





Komen